Make your own free website on Tripod.com

  Menu Utama
 
 MAJALAH AL-IMAM DAN 
SEMANGAT NASIONALISME 

1.0 Pengenalan 

" Nasionalisme sebagai satu keadaan fikiran yang menyerap masuk 
kedalam jiwa sebahagian besar rakyat dan didakwa menyerap masuk ke kalangan semua anggotanya; dia mengiktiraf negara-negara bangsa sebagai suatu organisasi politik yang unggul dan bangsa sebagai punca bagi segala kehidupan budaya yang membina dan punca kesejahteraan ekonomi." 

        Pengertian Nasionalisme ini diterangkan oleh Hans Kohn. Namun, itu adalah pandangan dari aspek barat atau di Eropah yang mempunyai budayanya yang tersendiri berbanding dengan Asia Tenggara yang mempunyai Kebudayaan Timur seperti mana yang diterangkan oleh Muhammad Abu Bakar. 

"Nasionalisme ala Melayu adalah berbeza dari nasionaisme ala Barat. Nasionalisme Melayu tidak bersifat angkuh, nasionalisme Melayu menjunjung tinggi maruah manusia, dan nasionalisme Melayu bertindak untuk menyatupadukan bangsa dan memberikan kekuatan . "Oleh itu, Abdul Latif Abu Bakar menghuraikan nasionalisme sebagai; "Gerakan kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan nasib sendiri, bangsa dan negara untuk mencapai kebebasan dan kesejahteraan serta memupuk keperibadian sejati. Ini berpunca daripada tekanan dan pengaruh asing atau penjajah sehingga anak negara lemah dan tertinggal dalam lapangan ekonomi, sosial, politik dan kebudayaan" . 

        Selain itu juga, Bagi orang Melayu di negara ini semangat nasionalisme itu juga berasaskan kepada faktor lain yang boleh dikatakan saling berkait antara satu sama lain, dan seterusnya kesedaran nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu mempunyai kaitan dan hubungan rapat dengan kepentingan agama Islam itu sendiri . Ini adalah kerana kesedaran atau kebangkitan semangat kebangsaan orang-orang Melayu itu tidak boleh dipisahkan daripada agama Islam yang merupakan sebagai penggerak yang utama . Oleh kerana itu juga, kebangkitan nasionalisme terawal adalah di kalangan golongan agama kerana golongan agama sangat berpengaruh kepada orang ramai, terutama pada peringkat kampung . Ini juga telah menimbulkan persoalan di kalangan mereka yang mendokong Islam secara lebih kuat seperti guru-guru agama yang baru pulang dari Asia Barat dan pemimpin-pemimpin agama tempatan. Atas kepentingan dan pergerakan Islam itu maka ia telah dapat melahirkan rasa kekuatan di kalangan umat Islam itu sendiri, khususnya orang-orang Melayu . 
Tetapi kedudukan agama Islam di bandar-bandar besar seperti di Singapura dan pulau Pinang adalah diperkuatkan oleh golongan Arab dan Jawi Peranakan. Mereka ini memainkan peranan penting dalam mempertinggikan ilmu pengetahuan dan kegiatan yang bercorak agama dengan berbagai-bagai cara seperti mendirikan madrasah dan persatuan-persatuan Islam . Golongan inilah yang digelar Golongan Al-Imam yang membawa semangat nasionalisme di kalangan orang-orang Melayu dirantau ini khususnya di Malaya ekoran dari kegiatan golongan intelek Melayu berpendidikan agama yang mempunyai objektif; 
"mengingatkan mana yang lalai dan menjagakan mana yang tidur dan menunjukkan yang sesat dan menyampaikan suara yang menyeru dengan kebajikan." 
 
 

2.0 Golongan Al-Imam

        Untuk membincangkan tentang Golongan al-Imam, perlulah diperingatkan bahawa golongan al-Imam juga mempunyai beberapa gelaran lain dan gelaran yang paling dikenali ialah "KAUM MUDA". Golongan Al-Imam adalah terdiri daripada beberapa orang yang mempunyai pendidikan sama ada pendidikan Timur Tengah mahupun berpendidikan Melayu antaranya Syeikh Muhammad Salim al-Kalali, Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al Hadi dan Haji Abbas Mohd Taha. Di antara mereka yang menjadi pemimpin Syeikh Mohd Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh Al Hadi dan Haji Abbas Mohd Taha yang sering dikaji oleh para pengkaji nasionalisme kerana mereka ini telah dicap dengan pelbagai label seperti "Kaum Sesat", "wahabi", "Kaum Muda", dan "Kaum al-Manar", walaupun ramai lagi antara mereka seperti Sayid Abdullah bin Aqil dan ZA'BA . 

Golongan ini digelar Al-Imam(pemimpin) kerana mereka adalah pengasas pertama Majalah al-Imam pada tahun 1906 walaupun hanya mampu bertahan selama dua tahun sahaja (1906-1908) . 

        Golongan al-Imam kebanyakannya bukan berdarah Melayu tempatan kecuali Haji Abbas. Mereka adalah berketurunan Arab ataupun dipanggil Jawi Peranakan. Namun itu mereka telah menyesuaikan diri dengan masyarakat Melayu sehingga telah sebati dengan keadaan dan cara hidup orang Melayu seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Mohd. Salim al-Kalali; 

"Sudah minum kami akan air susunya dan telah tumbuh darinya daging darah kami dan telah terbit daripadanya nikmat perhatian kesenangan kami. Tidakkah jadi terhutang kami kepada negerinya dan anak- anaknya" . 

        Dengan sebab itu al-Imam berasa kewajiban dalam menyedarkan orang Melayu dan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada mereka. Ia berasa bertanggungjawab untuk mencegah orang Melayu terutama golongan pembesar daripada khayalan dan kelalaian yang telah menyebabkan kemunduran dan kehinaan bangsanya dan juga tanah airnya. Sebab itulah akhbar yang diterbitkan dinamakan AL-IMAM(Pemimpin) Penerbitan majalah al-Imam adalah strategi dan penentangan golongan al-Imam atau golongan Ulama dalam bentuk perang saraf dan gerakan revolusi mental . Untuk memahami tentang pandangan dan pemikiran golongan al-Imam baiklah kita melihat serba sedikit tentang latar belakang kehidupan mereka terutamanya toga orang pelopor akhbar al-Imam dan yang membawa konsep KAUM MUDA; 

        Syeikh Tahir Jalaluddin lahir di Kota Tua, Ampek Angkek, Minangkabau di Sumatera Barat pada tahun 1869. Dia dihantar ke Mekah untuk mempelakari ajaran agama Islam secara lebih mendalam selama 20 tahun dalam bidang Falak. Oleh kerana itu, beliau juga di gelar Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki kerana kemahirannya dalam ilmu Falak. Selama empat tahun di Mesir, fikiranya mula terbuka untuk memahami konsep Muhammad Abduh dan Syed Jamaluddin al-Afghani. Syed Jamaluddin al- Afghani adalah berasal dari Afganistan. Pada tahun 1898, beliau turut serta menulis rencana dalam rencana al-Manar yang diterbitkan oleh Rasyid Ridha (pengikut Muhammad Abduh yang paling cergas) oleh kerana penulisan ini jugalah Syeikh Tahir digelar oleh Kaum Tua sebagai "Al-Manar". Ia kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1899. Oleh kerana ilmu yang ada pada dirinya beliau dilantik oleh sultan Perak menjadi Pemerksa Kiblat Masjid dan berkuasa menarah penghulu Kadi dalam hal yang berkaitan dengan ilmu Falak. Pernah juga dilantik sebagai Ahli mesyuarat orang besar-besar dan ulama Perak. Semasa bekerja sebagai Pilgrim Broker (menguruskan orang-orang yang hendak menaiki Haji) diSingapura beliau telah menerbitkan al-Imam bersama orang-orang kaya di Singapura termasuklah Al-Hadi. Kemunduran masyarakat Islam yang dilihat rata-rata di Nusantara menyakinkan beliau bahawa jalan penyelesaian untuk mengatasi masalah itu ialah dengan cara mengemukakan pandangan Islah terhadap agama Islam yang dirasakan menjadi punca segala kekeliruan dan kelemahan itu. Selain al-Imam beliau juga terlibat secara langsung dalam penerbitan al-Ikhwan, Semangat Islam, saudara dan sedikit dalam bumiputera dan Pengasuh di Kelantan. 

        Haji Abbas Mohd Taha pula lahir pada 1885 di Tanjung Pagar, Singapura. Berketurunan Minangkabau dan menghabiskan masa mudanya belajar di Mekah, kembali ke Singapura pada 1905. Sebelum bertugas sebagai pengarang al-Imam beliau pernah bekerja sebagai guru agama, Imam masjid Tanjung Pagar. Pernah juga menjadi Kadi besar di Singapura. Beliau menerbitkan akhbar Neracha pada tahun 1910 dan diikuti majalah Tunas Melayu pada tahun 1913. Kedua-dua akhbar ini meneruskan cita-cita yang diperkenalkan oleh al-Imam. Ini meletakkan beliau sebagai seorang ulamak dan tokoh Islam yang berjaya menyambungkan Islah Islam yang diasaskan oleh al Imam akhirnya sejak dari tahun 1940 beliau menjadi guru agama di Selangor dan Mufti di Pahang. 

        Syed Syeikh Al-Hadi, tokoh terpenting sesudah Sheikh Tahir. Beliau adalah tokoh Islah yang paling vokal menyuarakan kritikan kepada pemimpin agama dan pemimipin masyarakat yang lalai dan alpa dalam menyempurnakan tugas mereka kepada masyarakat. Lahir di kampung Hulu, Melaka lebih kurang pada tahun 1862, dari keturunan Arab-Melayu. Mendapat pendidikan di sekolah Melayu negeri-negeri Selat dan belajar agama di Kuala Terengganu dan mendalami ilmunya di Pulau Penyengat di Riau semasa menjadi anak angkat kepada Raja Ali Kelana. Hubungan rapat dengan keluarga di raja membolehkan beliau melawat Mesir dan Mekah. Melalui Tahir Jalaluddinlah beliau memperoleh idea Islah Muhammad Abduh. Beliau pernah menjadi peguam syariah, pendidik, saudagar dan penulis rencana-rencana yang bersemangat dan berterus-terang. Perjuangannya dilakukan di dalam majalah Al-Imam dan diteruskan dalam majalah Al-Ikhwan di Pulau Pinang. Di antara tahun 1925-1926 beliau menerbitkan novel saduran Hikayat Faridah Hanum bertujuan menyedarkan golongan Wanita ketika itu. Manakala dalam akhbar Saudara,beliau memberi kesempatan kepada umat Islam mengemukakan pendapat mereka di dalam ruangan akhbar. Pembaharuan ini meyebabkan berlaku perselisihan dengan golongan kaum Tua. Meninggal dunia d Pulau Pinang pada 20 Februari 1934. 
 

3.0 Peranan Golongan Al-Imam
3.1 Pembaharuan Pemikiran 
3.1.1 Keagamaan

        Golongan al-Imam cuba membawa perubahan terhadap kehidupan manusia dengan mengambil aspek keagamaan sebagai teras perjuangan islahnya ini adalah kerana Islam sebagai keseluruhan yang sebati dalam cara hidup orang-orang Melayu itu , tidak dapat dipisahkan kepada bahagian dan lapangan tertentu . Oleh itu golongan Al-Imam merasakan kelemahan dalam aspek keagamaan itu merupakan penyakit menyebabkan terbantutnya perkembangan kemajuan pendidikan, ekonomi, sosial dan politik orang Melayu. Sheikh Mohd Salim Al-Kalali dalam rencana pertamanya menegaskan bahawa, tugas pemimpin-pemimpin rakyat ialah menentukan penyakit itu dan menentukan pula ubat baginya . Mereka cuba membawa pembaharuan dengan memberikan tafsiran tentang keagamaan termasuklah berkaitan dengan ibadah; 

"Pengertian ibadah begitu sempit bagi mereka, hanya berkisar di sekitar ibadah sembahyang, puasa, zikir, nikah kahwin, dan yang seumpamanya sedangkan pengajaran dan pengertian ibadah serta ruang lingkupnya dalam yang merangkumi segenap aspek dan ciri kehidupan ukhrawi dan duniawi ."

Syeikh Mohd. Salim pula menyatakan,
"....pintu yang mengukuhkan dan menyungguhkan segala hajat itu ialah mengetahui akan hakikat agama kita kerana ialah ubat yang sangat mujarab bagi segala penyakit umat kita ini ."

        Ini bererti untuk memperolehi kemajuan dari semua bidang tersebut, perlu mengukuhkan keutuhan dalam hal-hal keagamaan dalam masyarakat Melayu itu sendiri. Bukan sahaja tentang pengukuhan agama yang mereka sentuh tetapi juga tentang peranan golongan ulama lain yang masih terikat dengan tradisional . 

        Atas kesedaran orang orang Melayu tidak mematuhi ajaran Islam sebenarnya. Sebilangan besar mengamalkan perkara yang terang-terang ditegah oleh Islam disamping memperkecilkan perkara yang disuruh oleh agama . 

        Oleh itu pada mereka (golongan al-Imam) memahami ajaran Islam dengan cara yang sebenar-sebenarnya serta teliti. Islam haruslah dipandang dan ditilik dengan kaca mata yang lebih luas sebab pemikiran dan pemandangan yang cetek dan sempit akan menjadikan sesuatu umat itu sesat ini adalah kerana pada pendapat mereka pembaharuan dalam Islam adalah bersesuaian dengan peredaran zaman . Tuhan telah memberikan akal kepada manusia untuk digunakan sebaik mungkin dan dimajukan dan bukan hanya mempersoalkan tentang sesuatu perkara tanpa sebab . 
Di bentuk oleh kesedaran akan terkebelakangnya umat dan dihimpit oleh halangan sistem kemutlakan tradisional yang bercorak tradisional dalam politik konservatif dan taqlid dalam kehidupan keagamaan, maka para "pembaharu" yang terlibat dalam proses kebangkitan ini menekankan peranan akal dalam kehidupan keagamaan dan aktivitisme dalam kehidupan sosial . Kesan daripada ini maka golongan al-Imam berpendapat bahawa orang Melayu telah menganuti kepercayaan yang salah dan mereka itu sebagai pak turut saja tanpa mempunyai pandangan dan fikiran yang kritis . 

        Melalui majalah Al-Imam ,golongan Muda(juga dipanggil golongan al-Imam) ini cuba menyedarkan golongan Tua (golongan yang masih mencampuradukkan antara tradisional[adat] dan agama) dengan menyatakan mereka telah membawa satu pegangan yang salah yang menyebabkan orang Melayu yang keseluruhannya penganut setia Islam sering menyalahtafsirkan ajaran agama pada dasar dan pengertian yang sebenarnya . Semua ini dinyatakan oleh Syed Sheikh A-Hadi; 
"Amalan khurafat umat Islam dan sikap statis pemimpin agama dan sekular waktu itu sebagai punca menimbulkan keadaan kejatuhan masyarakat Melayu ."

Penyataan ini juga mengkritik golongan Tua yang menganggap, 
"bahawa berlemah lembut dengan segala bangsa (membuat perhubungan baik) dan bersuka-sukaan dan berhiasan rumahtangga kampung halaman atau pakaian diri dan mengetahui ehwal alam ini berlawanan dengan kehendak agama ." 

        Sehinggakan mereka menjauhkan diri dari melakukan hal-hal tersebut sedangkan ianya tidak menjadi larangan dalam Islam. Ini bermakna mereka telah menolak kunci untuk menuju ke arah kemajuan bukan saja pada dirinya bahkan masyarakat Melayu ketika itu. Atas penolakan golongan tradisi terhadap kemajuan ini menyebabkan golongan al-Imam hendak menyedarkan mereka dari kesalahan-kesalahan mereka itu dan mengetahui tanggungjawab masing-masing kerana pada mereka Islam itu merangkumi keseluruhan cara hidup dan perkembangan sejarah budaya Islam itu 
sendiri . Manakala menerusi budaya Islam ini identiti dan sejarah budaya sendiri itu tetap menjadi asas kepada pertumbuhan budaya seterusnya dan semua ini membawa kepada kemajuan manusia dan umat Islam keseluruhannya. 

        Golongan Al-Imam percaya bahawa golongan terdidik yang baru muncul itu, akan dapat menjalankan usaha untuk mengikis pendapat kolot daripada pegangan orang Melayu tradisi dan sekiranya berjaya maka pastilah umat Islam kembali kepada kemegahan yang asal dan kemuliaan yang lalu . Kerana Islam itu sendiri telah merangkumi semua aspek kehidupan orang-orang Melayu . 

        Al-Imam juga menyeru orang Melayu menoleh ke negeri Jepun. Walaupun mereka menerima segala perubahan dalam bidang ekonomi, politik dan pertahanan tetapi masih tetap dengan agama mereka dan tidak was-was mengambil perubahan barat khususnya pendidikan sebagai alat untuk memajukan bangsa dan negaranya. Manakala orang Melayu enggan bertembung dengan tamadun Barat dan menganggap mereka sebagai musuh Islam. 
 

3.2 Pembangunan Masyarakat

3.2.1 Sosial
3.2.1.1Hak wanita

        Golongan Al-Imam juga mengambil berat kedudukan wanita dalam masyarakat . Mereka menganjurkan kebebasan yang lebih luas bagi kaum wanita mendapatkan pelajaran dan mengambil bahagian dalam urusan-urusan masyarakat . Abu Bakar Hamzah menyatakan; 

" As for the Muslims in Malaya, they have numerous problems chief among these is regarding woman' status, their rights and legitemate position in society. Women have to be given the necessary education and traning because they are the natural partners of men in their strunggle for greatness and glory in their life ."

        Oleh kerana golongan ini memainkan peranan penting dalam kecemerlangan dan kejayaan dalam kehidupan kaum lelaki, seharusnya beberapa perubahan perlu dilakukan di antaranya ialah mengadakan kelas perempuan sehingga darjah tiga dengan tujuan memberi pelajaran membaca al-Quran dan pelajaran agama supaya dapat melahirkan ibu- ibu yang berpelajaran . 

        Dalam menyedarkan masyarakat Melayu, Sayid Sheikh Al-Hadi berkesempatan menegaskan pentingnya pelajaran dan kebebasan yang luas bagi kaum Wanita serta tingginya nilai kesucian dan kesetiaan yang dimiliki oleh wanita kepada masyarakat umum melalui novelnya iaitu Hikayat Faridah Hanum yang diterbitkan pada 1925 . Novel ini telah menjadi kontraversi apabila ia menceritakan tentang kebebasan wanita dalam kehidupan yang sebelum ini wanita Melayu adalah orang yang sangat pemalu. Tetapi dengan penulisan a-Hadi ini menyebabkan penentangan Kaum Tua yang telah mengelarnya sebagai "Kaum Sesat" ini kerana penulisan Al-Hadi dalam novelnya Faridah Hanum ia seperti membenarkan hidup berkasihan dan berpasangan yang selama ini amat ditentang oleh Kaum Tua. Penjualan buku ini telah menyebabkan keuntungan yang besar kepada Kaum Muda apabila degan penjualan yang diulang cetak ini menyebabkan tertubuhnya Jelutong Press yang terus memainkan fungsi sebagai syarikat percetakan Kaum Muda. Untuk menyedarkan kaum wanita ini, golongan Al-Imam telah membuat perbandingan mengenai keadaan dan fungsi wanita Amerika dengan wanita Islam. Mereka menyatakan; 

"wanita Amerika berusaha sendiri mencari jalan hal kehidupan mereka, sehinggakan melakukan kerja-kerja yang berat seperti bekerja dalam syarikat, membina bangunan-bangunan dan gedung yang besar, sama-sama memikul batu-bata, kayu-kayu dan alat perkakas binaan yang sebelumnya adalah pekerjaan yang tidak pernah dilakukan oleh kaum wanita di Tanah Melayu ." 

        Walaupun golongan al-Imam membandingkan tentang orang Amerika dan orang Islam tetapi apa yang dimaksudkan ialah bukan mengambil sepenuhnya apa yang ada di Amerika tetapi yang cuba diterangkan ialah bahawa wanita juga mempunyai peranan dalam memajukan negara dan membebaskan negara dari cengkaman penjajah. Golongan al- Imam juga cuba menunjukkan wanita sebenarnya boleh berdikari dan tidak lagi duduk di ceruk dapur tetapi untuk mencapai kesempurnaan kecemerlangan hidup pendidikan adalah penting. Oleh kerana itu, penekanan terhadap pendidikan telah ditanamkan kepada kaum wanita. Walaupun pandangan golongan ini mendapat kecaman khususnya dari Kaum Tua. Mereka masih terus memberi galakan supaya mereka meneruskan perubahan tersebut dan mengerjakan pekerjaan yang munasabah dengan hal merekaitu. Keberanian mereka ini sedikit sebanyak telah dapat menggalakkan keinginan kaum wanita untuk mendapatkan pendidikan.


|| Halaman Utama || Biodata || Album || Persahabatan || Link Pilihan ||
|| Java || Falsafah & Renungan || E-mail || Penghargaan ||